Saturday, February 6, 2010

Mencapai Impian Tanpa Usaha

Mampukah kita mencapai impian tanpa berusaha? Tentu ramai yang akan mengatakan tidak tanpa berfikir panjang. Sejak dari kecil, kita telah menanamkan di dalam fikiran kita bahawa untuk mencapai sesuatu mestilah kita mulakan dengan usaha. Maka tidak hairan lah jika kita lihat ramai orang yang gagal mencapai impian mereka. Ini berlaku kerana cara mereka berfikir dan beremosi adalah salah. Apa yang terjadi adalah usaha tanpa keyakinan(banyak keraguan) dan emosi yang tidak stabil. Dengan itu, sepanjang "usaha" mereka akan menemui kepayahan dan kesulitan. Oleh itu marilah kita memperbaiki cara kita berfikiran semoga hidup kita dapat mencapai redha Allah.
Saya ingin mengajak saudara mengimbau sejenak sejarah hidup kita. Adakah kita benar-benar hidup dengan berserah diri kepada Allah? Sejauh mana tawwakal kita kepada Allah? Atau kita hanya berpura-pura? Marilah memfokuskan seluruh tenaga kita meyakini bahawa segala kejadian di muka bumi ini adalah dengan kehendakNya.

Langkah-langkah untuk mencapai impian:


Doa - Yakin - Syukur (DYS)

DYS adalah satu pakej kaedah mencapai impian atau keinginan yang insyaAllah kita mampu perolehi redha Allah.

1) Doa - adalah permohonan atau permintaan kita terhadap Allah s.w.t . Keinginan untuk berjaya, bahagia, kaya dan sebagainya. Keinginan kita kepada sesuatu hanya boleh terjadi dengan kehendakNya. Doa bukan hanya berlaku semasa kita menadah tangan padaNya, tetapi sentiasa selagi kita berfikir. Oleh itu, berhati-hati ketika berfikir. Fikirkan yang baik-baik sahaja. Jika anda terfikir sesuatu yang buruk boleh mengancam keluarga anda, bermakna anda mendoakannya. Sebaliknya berfikirlah sesuatu yang baik akan berlaku pada keluarga anda. Anda akan berasa lebih tenang dan senang hati dan yang lebih utama dan pasti, anda telah berprasangka baik pada Allah. Doa anda akan menjadi semakin kuat apabila anda merasakan diri ini teramat lemah dan tidak berdaya tanpaNya.

2) Yakin - Bagaimana hendak memantapkan keyakinan terhadap keinginan anda? Sebenarnya anda tidak perlu melakukan perkara itu. Kenapa? keyakinan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat sebaliknya ianya hanya mampu diperolehi apabila Allah menganugerahkannya melalui doa anda tadi. Anda hanya perlu menggambarkan jawapan kepada keinginan anda. Sebagai contoh, sekiranya anda mengidamkan sebuah kereta mewah, dan anda mampu menggambarkan dengan jelas rupa dan ciri-ciri yang ada pada kereta itu, bermakna anda mampu memilikinya satu hari nanti. Bagaimana ianya mampu direalisasikan? Apabila keyakinan berkembang mekar di dalam jiwa, Allah akan menunjukkan jalan untuk kita. Jadi tidak perlulah kita memikirkan nak usahakan apa untuk mencapai hajat/keinginan kita. Ingatlah bahawa Allah lah pentadbir sekelian alam. Anda mahukan bukti? Mudah sahaja. Lihat sahaja pada diri kita. Apa yang ada pada diri kita sekarang?Apa sahaja yang ada pada kita sekarang adalah apa yang kita pinta dariNya samada kita sedar atau tidak. Sekiranya ada perkara yang belum anda miliki sehingga sekarang, ianya adalah kerana kemungkinan keraguan anda melampaui keyakinan. Yakin lah pada Allah...sesungguhnya Dia maha pengasih lagi maha penyayang.

3) Syukur - Allah amat menyayangi hambanya yang suka bersyukur. Hambanya yang suka bersyukur adalah hambanya yang menghargai pemberian Tuannya. Tanda seorang hambaNya yang bersyukur ialah mereka suka bersuka bersedekah atau menolong orang lain dengan ikhlas. Orang yang bersyukur sering murah rezeki kerana dia sentiasa berprasangka baik pada orang lain dan Allah s.w.t. Seperti janji Allah, setiap perbuatan baik akan dibalas baik. Apabila kita berprasangka baik pada Allah bahawa Dia akan memperkenankan doa kita, Dia pasti memberikan seperti mana yang kita minta. Ingatlah, keraguaan itu adalah bisikan syaitan. Yakin lah dan mintalah hanya daripada Allah.

1 comment:

  1. Terima kasih di atas ingatan ini. Kaedah mencapai impian yang manusia sering lupa & letakkan di tempat ke-2, di belakang USAHA mereka. An eye-opening read.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...